Thursday, 11 October 2012

Saman AES untuk kaut wang rakyat


Pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bertujuan mengaut wang rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin.
Katanya, sistem itu tidak telus kerana hingga kini pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal mendedahkan syarikat yang terlibat membekalkan peralatan itu.
“Akhirnya saman ini merugikan seluruh rakyat. Jumlah saman itu juga terlalu tinggi antara RM300 hingga RM2,000. Malah Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam sendiri menyarankan agar saman dibayar pada hari sama ia dikeluarkan dan ini sangat membebankan rakyat,” katanya ketika dihubungi.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan menyatakan bagi fasa pertama, sebanyak 14
daripada 187 kamera AES telah dipasang di beberapa lokasi dikenal pasti di Perak, Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Manakala bakinya akan dipasang dalam fasa kedua, namun tarikh dan lokasi tidak diumumkan.
Shamsul turut menolak alasan JPJ kononnya sistem AES bertujuan mengurang jumlah kemalangan jalan raya dan mengekang budaya rasuah sebagaimana dinyatakan dalam laman jabatan itu.
“Tujuan itu kita sokong, tetapi kenyataan beliau juga membuktikan budaya rasuah dalam jabatan tersebut selama ini benar-benar berlaku sebagaimana dibangkitkan rakyat sekian lama.
“Budaya rasuah turut berlaku di jabatan lain termasuk Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom). Sebab itu ubat sebenar masalah ini ialah reformasi sistem dan bukan setakat pasang kamera, kemudian umum dan kenakan denda kepada rakyat,” tegas beliau.
Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam sidang Parlimen lalu bersetuju menaikkan kadar saman trafik antara RM300 hingga RM2,000 bagi setiap kesalahan.
Sebelum ini, KEADILAN mendedahkan kutipan saman jalan raya akan dikongsi antara kerajaan dengan dua syarikat pengendali AES, Beta Tegap Sdn Bhd dan Ates Sdn Bhd, yang mana kedua-dua syarikat itu mensasarkan 10 juta saman dikeluarkan setahun, lapor akhbar The Edge.

No comments:

Post a Comment