Tuesday, 20 March 2012

Laporan rasmi kata hutang negara RM446.007 bilion, menteri kata RM231.6 bilion


KUALA LUMPUR: Jawapan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai mengenai hutang terkumpul dalam negara bercanggah dengan laporan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2011, kata Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.
YB Azan Ismail dalam sidang media hari ini di Parlimen
“Dalam buku laporan ‘Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2011′ menyatakan, jumlah terkumpul hutang dalaman negara adalah RM446.007 bilion tetapi, Donald Lim memberi jawapan jumlahnya RM 231.6 bilion,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Azan menjelaskan demikian sebagai respon kepada jawapan Menteri dari soalan bertulis yang dikemukakan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun yang bertanyakan tentang prestasi hutang negara termasuk yang sudah langsai dan masih tertunggak.
Katanya, margin perbezaan jumlah hutang itu sangat ketara dan dijangka menjejaskan keyakinan pelabur di negara ini akibat dari kenyataan Kabinet yang tidak konsisten mengenai situasi kewangan negara.
“Jika perbezaannya sekitar 10 hingga ke 15 peratus pun masih boleh dipertikaikan, apatah lagi jika hampir 100 peratus?” soal Azan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff memaklumkan Donald Lim boleh dikenakan tindakan kerana mengelirukan Dewan Rakyat melalui kenyataan berkenaan.
“Ini satu tuduhan serius. Termasuk hari ini, sudah lima kali Kementerian Kewangan membuat kenyataan yang silap. Perkara ini akan memberi impak kepada pasaran,” kata Yusmadi.
Dari Malaysiakini

No comments:

Post a Comment